Tuesday, November 25, 2008

TAHNIAH MIKAEEL JACKSON!




TAHNIAH dan SELAMAT DATANG diucapkan kepada penyanyi popular dunia, Michael Jackson yang menemui kebenaran ajaran agama Islam yang diredhai ALLAH SWT. Semoga sahabat baru, Michael Jackson atau nama Islamnya Mikaeel Jackson, nama malaikat pemberi rezeki mendapat taufik dan hidayah dan istiqamah dalam melayari hidup sebagai muslim. Semoga dikuatkan hati dan iman dalam menempuh onak duri. Sebagai umat Islam, sudah tentu segala tindakan dan tawakal diserahkan hanya kepada YANG MAHA ESA.

Bakat sebagai penyanyi popular dunia jangan disia-siakan. Wadah hiburan berteraskan Islam merupakan salah satu wadah menarik golongan belia terus meminati dan menyintai Islam yang indah.

Jacko yang dibesar dalam lingkungan agama Kristian dikatakan mengambil keputusan menganut Islam semasa beliau menggunakan studio di rumah kawannya ketika merakamkan album baru. Rakannya David Wharnsby seorang penulis lagu dan produser Philips Bubal menasihatkan beliau supaya memeluk agama Islam.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat selaku Mursyidul Am PAS berharap penyanyi terbabit dapat mempromosikan Islam melalui tindak tanduk yang baik dan lirik-lirik lagu yang dapat memberi keinsafan kepada manusia serta mengakui kebesaran Allah. BARAKALLAH...

Wednesday, November 19, 2008

Suasana dan budaya baru



Jam menunjukkan pukul 3.00 pagi. Aku dikejutkan oleh emak untuk bangkit dari keenakan mimpi dan disuruh bersiap kerana sejam dari sekarang kami akan bertolak bermusafir dari negeri timur semenanjung menuju ke selatan semenanjung malaysia. Tanpa alasan, aku bergegas bersiap dan menyediakan apa yang patut termasuk membantu emak menyediakan masakan di dapur.

Ke hulu ke hilir, tanpa aku sedari, jam menunjukkan jam 4.00 pagi. Saatnya telah tiba apabila semua barang-barang diangkut ke dalam kereta proton wira DAS 2889 milik abang keduaku yang tersayang. Hatiku terasa sungguh sayu apabila kereta yang kami naiki bergerak perlahan-lahan meninggalkan kampung halamanku yang indah permai yang terletak di Negeri cantik Budaya Menarik, negeri Terengganu Darul Iman.

Perjalanan aku, emak, ayah dan sepupu menuju ke selatan semenanjung Malaysia mengambil masa lebih kurang 10 jam. Jam 2.00 petang, kini tibalah kami di daerah penuh metropolitan, daerah Johor Bahru. Negeri Johor aku namakan sebagai Negeri Berbudaya Rakyat Gembira. Kesibukan dan kesesakan memberi aku kejutan yang telah lama aku tinggalkan selepas tamat pengajian di negeri barat semenanjung Malaysia, Selangor Darul Ehsan, Negeri Kaya Rakyat Ceria. Fuhh... satu kejutan kembali menerjah fizikal,emosi,spiritual dan mentalku di sini.

Detik 8.00 pagi tanggal 10 November 2008, kami bergegas ke Balai Islam, JB untuk pendaftaran sebagai guru baru. Ku lihat nun di sana pelbagai aksi para guru baru bersama keluarga masing-masing dari pelbagai pelusuk daerah dan negeri. Kesibukan di kota metropolitan menambahkan kerinduanku ke kampung halaman yang tercinta. Detik 4.00 petang, kami bergegas pula ke SMK Bandar Baru UDA, JB di mana tempat aku akan mencurahkan segala bakti dengan penuh amanah dan tanggungjawab.

Emak dan ayah menghantar aku ke rumah sewa dan seterusnya ke rumah sahabatku tercinta, Hairunissa Jopri di Taman Kemas, JB yang menjadi tempat aku berlindung sepanjang minggu orientasi bergelar guru di SMK Bandar Baru UDA ini. Pesanan ibuku supaya menjaga diri, maruah dan iman sepanjang berada di negeri orang sangat membuatkan hatiku pilu. Makin pilu hatiku ini apabila ibuku menyerahkan aku sebagai 'anak' kepada ibubapa Nissa..Aku sangat sayang dan rindu kan mu wahai emak dan ayah!!!

Maka bermulalah perjalanan hidupku sebagai guru dan perantau di kota metropolitan JB memberi aku sedikit pengalaman dan persediaan yang sesuai. Setiap kali aku menelefon emak dan ayah di kampung, perkara utama yang aku terima ialah pertanyaan khabar tentang kehidupan di JB oleh emak dan ayah. Pesanan yang pelbagai dari orang tua termasuk jaga diri, jaga maruah, jaga iman, elakkan kontroversi dan masalah dan pelbagai lagi menggambarkan kerisauan yang ada dalam hati kecil mereka terhadapku. Maklumlah, anak bongsu katakan.. walaupun usia ku kini sudah 23 tahun dan bakal mencecah 24 tahun pada 8 Mac 2009, namun kerisauan itu masih menebal di hati mereka. Mana taknya, orang tua mana tak risaukan anaknya terutama anak gadis yang berada jauh dari pandangan. Kerisauan ini memilukan hatiku. Namun, aku harus kuat dan sabar dalam menyesuaikan diri di tempat orang. InsyaALLAH, lama kelamaan aku boleh sesuaikan diri di sini. AMIN....

Aku sangat 'jealous' apabila mendapat khabar beberapa temanku dapat 'posting' di negeri kelahiran sendiri Terengganu Darul Iman. Negeri pilihanku sewaktu temuduga tidak aku peroleh malah aku ditempatkan di negeri Johor. Namun aku amat bersyukur kerana mungkin ada hikmah yang belum tersingkap oleh pandanganku. Benarlah kata-kata perangsang yang sahabatku pernah SMS kan kepadaku; "JANGANLAH TERLALU KECEWA DENGAN HARI INI SEHINGGA TERLUPA AKAN KEBAHAGIAAN HARI ESOK KERANA MUNGKIN ESOK ALLAH TELAH SEDIAKAN SEBUAH KEBAHAGIAAN UNTUKMU SEBAGAI HADIAH KETABAHAN HARI INI". InsyaALLAh, kebahagiaan pasti tiba..

Emak dan ayah, aku amat rindukanmu..Aku akan cuba berusaha semaksimum mungkin untuk menjadi anak yang solehah. ALLAHUMMAGHFIRLI WALIWALIDAIYA WARHAMHUMA KAMAROBBAYANI SOGHIRO.. AMIN.... I Love and miss you so much...

Thursday, August 7, 2008

SALAH SATU CIRI ISLAM: INQILABIYAH

Di antara ciri-ciri khusus Islam ialah Inqilabiyah yakni tertegaknya Islam dengan runtuhnya jahiliyah. Hal ini memberi kita maksud bahawa maaruf yang perlu dilaksanakan selari dengan mungkar yang mesti dihapuskan, bukan sekadar kita mengajak orang kepada kebaikan dan pada masa yang sama tidak cuba menghapuskan kemungkaran yang semakin bermaharajalela.

Saya sangat terkilan, mungkin ini berita lapuk. Namun, adakah kita peka dan tersentuh dengan perkara ini. iaitu, kalau perasan, setiap Ahad malam bertembung di antara rancangan berbentuk mendidik jiwa dengan rancangan agak merosakkan jiwa. Bermula jam 8.30 malam di TV9 akan berkumandanglah rancangan HALAQAH yang bagi saya sangat memberi banyak input. pada masa yang sama, di TV3 dan TV1 akan disiarkan rancangan Gang Starz dan hiburan. Pada 3 Ogos lepas misalnya, disiarkan rancangan konsert Jom Heboh. Saya hanya ingin fokuskan pada rancangan TV pada Ahad malam sahaja. Mungkin banyak lagi rancangan2 lain yang boleh disentuh.

Apa yang membuatkan saya terkilan ialah, apakah rancangan yang dihidangkan itu mengikut kategori? Misalnya rancangan berbentuk keagamaan kepada mereka yang berminat sahaja atau untuk mereka yang telah lanjut usia, manakala rancangan hiburan pula untuk muda-mudi yang dahagakan hedonisme melampau? Sampai bilakah kita tidak mahu cuba untuk memberitahu dan mengajak belia kita mengikuti aktiviti2 berfaedah seperti nasihat, sukan dan lain2 yang tidak dapat merosakkan minda dan jiwa mereka.

Saya berpandangan, tiada salahnya berhibur kerana dalam Islam hiburan diperlukan sebagai fitrah manusia. Namun, apa yang penting kita perlu memastikan hidangan hiburan itu tidak melampau sehingga merosakkan belia kita yang bakal menjadi pewaris negara kelak.Apa guna jika kita hanya memberi nasihat dan teguran kepada anak muda kita untuk tidak buat begini-begitu dan perlu buat begitu-begini seandainya tiada usaha yang lebih mendalam yang harus bermula dari akar dan rebungnya.

Saya masih ingat kata-kata senior saya semasa di UKM dulu, Ustaz Dzulhazmi yang menyebut bahawa seandainya satu balng gula-gula diletakkan di atas meja, allu datang kanak-kanak meminta gula-gula tersebut. Namun bapa kanak-kanak tersebut mengatakan TIDAK BOLEH makan, tengok sahaja atau sebagai perhiasan sahaja. Namun, kanak-kanak itu sangat mengkehendakinya. Apa akan terjadi apabila si bapa berpaling dari anak itu, maka sudah tentulah si anak tetap akan mengambil dan memakannya tabpa mempedulikan larangan ayahnya tadi. Begitulah ibaratnya muda-mudi kita hari ini, jika dihidangkan dengan pelbagai perkara yang terkeluar dari landasan Islam, maka hancurlah jadinya. Wallahu'alam.

Ayuh, sama2 kita ubah cara hidup agar selari dengan Islam. Al-Islamuya'lu wa la yu'la 'alaih.. Islam itu tinggi dan tiada yang tinggi selain Islam.

Wednesday, June 25, 2008

Bantulah ana wahai sahabat!!

Hampir 1 bulan setengah ana melayari hidup di kampung bersama kedua orang tuaku di kampung setelah tamat pengajian di kampus. Tempoh ini ana rasakan teramat panjang. Ana amat merindui sahabat2 seperjuangan di Lembah Klang. Apa khabar kalian di sana? Masihkah ingat daku di sini? mengapa SMS ku tidak kalian jawab? mungkin sibuk dan terlupa. oh ya.. belum top up kot.. takpe sahabat..jauh di mata namun diri kalian dekat bangat di hati ana. I MISS U ALL...namamu sentiasa seiring dengan doaku. insyaALLAH...

Sahabat,
Ana terasa jauh dari kalian semua. ana tahu perasaan ini tak sepatutnya hadir dalam hatiku. aku tidak tahu mengapa aku jadi seperti ini, namun mungkin ukhwah yang kita bina teramat ana rindui. gurau senda mu sahabat2, suara kalian........ amat ana rindui. ana sedar, semasa ana membuat keputusan untuk balik ke kampung yang jauh di pedalaman ini, ana tidak bisa mengaktifkan diri seperti dulu. Kampung tempat ana dibesarkan bukanlah bi'ah seperti aku di Lembah Klang dulu, aahh...jangan mencari alasan..betapa sukarnya untuk menerangkan kepada kakak-kakak dan abang-abang serta mak dan ayah tersayang. Tambahan keadaan ibu yang uzur memangkinkan diriku untuk balik ke kampung..ana merasakan inilah masa untuk tinggal dengan mak dan ayah kerana apabila berkerjaya dan berumahtangga, mungkin masa balik ke kampung berjumpa mak dan ayah tidak sekerap mana. Namun, jauh di sudut hatiku, ingin sekali ana secara langsung menghadiri usrah, liqa dan sebagainya. Jauhnya dari sahabat2 mungkin ana merasakan diri ini futur. NAUZUBILLAH...

Sahabat,
Percayalah..aku ini lahir dari keluarga yang biasa, membesar di kalangan masyarakat biasa, namun kehadiran kalian amat membuatkan diriku mendapat mutiara yang AMAT berharga dan kalian amat luar biasa bagi diriku. Kadang2, ana terasa amat rendah diri melihat sahabat2 yang jauh lebih baik dariku. Namun, ana amat bersyukur kepada Sang Maha Penyayang yang telah memilih diri ana di jalan ini. Ana bukanlah orang yang selayaknya.....

Ya ALLAH, Tuhan pemilik hati2 ini,
Tetapkanlah hati ini di dalam agamaMu, berterusan mentaatiMU dan istiqamah di jalan jihad fisabilillah..janganlah Engkau bolak balikkan hati ini sama ada seketika atau selamanya..NAUZUBILLAH...

Betul sahabat, menyendiri dan tinggal bersama sahabat2 amat jauh bezanya..Ana merasainya kini. Walaupun media elektronik menghubungkan kita, ana merasakan sangat berbeza..Ana positifkan fikiran ana, mungkin saat ini, masa dan peluang yang Allah bagi kepada ana untuk meneruskan agenda dakwah di kampung halaman ana dibesarkan kerana kata orang 'kita lebih tahu suasana tempat kita sendiri'. Bila ana berfikiran sedemikian, ana kembali bersemangat dan bertenaga untuk terus terjun bersama masyarakat kampung ini..

Alhamdulillah, di kala ujian yang amat sedikit kedudukan kewangan yang Allah berikan kepadaku, Allah bagi ana peluang untuk bekerja sebagai guru ganti di sekolah rendah di kampung jiran. Berhadapan dengan kanak2 seawal 7 - 11 tahun amat memberi makna buat diri ana. Ana merasakan inilah ssat dan peluang untuk Allah memberi peluang kepada ana mengaplikasikan segala apa yang ana dapat dalam medan tarbiyah di kampus dulu. Berjumpa dengan kanak2 comel ini memberi ana inspirasi baru, mereka akan membesar dan memilih jalan hidup masing-masing. mereka jualah penyambung mata rantai perjuangan Rasulullah S.A.W.. Rasullah SAW amat sukakan kanak2 dan sentiasa membelai tatkala menemui mereka, apatah lagi ana sebagai hamba yang hina dan dhaif ini, sewajarnya mengikuti sunnah Baginda..

Akhir kata sahabat, janganlah dikau biarkan diriku jauh. Andai ana tersasar, tariklah ana, anadai ana tersilap, tegurlah ana, andai ana cuai marahlah ana. Kalian penguat diri ana. Syukran sabahat...kalian banyak membantu ana. bagi sahabat2 yang membaca / terbaca luahan ini, sampaikan salam ukhwah ana kepada sahabat2 lain. Ana uhibbukumfillah..

Saturday, June 7, 2008

ANAK BUAH OH ANAK BUAH...

Sekarang saya kat kampung lepas baru tamat pengajian kampus. tolong2 mak ayah apa yang perlu sebagai seorang anak. Sepanjang seminggu kat kampung ni, kena la ngasuh anak2 buah yang ramai dan comel pulak..Ala.. macam moksu dia la.. kat umah ada la 4 orang anak buah. 10 tahun lelaki, 8 tahun perempuan, 4 tahun dan 1 tahun masing2 lelaki. kat rumah abang ada juga 9 anak buah..tak la jaga 24 jam sebab duduk ngan mak ayah depa kat rumah depa. dekat je umah dengan mak. Lagi 4 kat sibu,sarawak. 4 yang lain pulak kat taiping, perak. Dan lagi 7 kat pasir puteh, klate.. haa..brape? ramai kan.. skali balik kampung kumpul semua, wah rumah papan tu bergegar. Nasib baik kayu kukuh buat bina rumah..

Bila duk ngan kanak2 ni, macam2 benda difikirkan. ye la..dunia semakin canggih, maka cabaran semakin hebat. nak main games, CC tepi rumah, nak main bola, gelanggang depan rumah.. nak mandi sungai, sungai belakang rumah, time solat kene make sure depa ni solat dulu baru buat aktiviti..macam2 la..tambahan pulak tengah cuti sekolah, kerja sekolah takde la selalu dibuatnya, malam je..siang mengembara katanya..maklumla masyarakat kampung ni 'mesra alam'. jadi mengembara keliling kampung. Jauh perjalanan luas pemandangan..

Memang ibu bapa perlu mainkan peranan lebih. kadang2 saya tengok ada anak buah saya ni, sangat nakkan mak bapa diorang concern ngan depa. kalau menang dalam contest kat sekolah, mak ayah kena bagi support, dapat tinggi keputusan dalam exam, mak ayah patut bagi pujian, dapat baca juzuk baru, mak ayah yang depa nak bagi semangat, dan macam2 lagi. Anak mak bijak, anak abah pandai, anak umi pintar, anak abi handsome dan maccam2 lagilah.. Yela, saya ni bujang lagi tak jadi mak lagi, senang la cakap kan..tapi tengok mak ayah, kakak2 dan abang2 didik anak2 depa, setiap orang berbeza cara didikannya..

Satu perkara yang saya harapkan, mereka ni jadi anak yang soleh solehah. mungkin masa kecik nakal tapi bila besar, harap tak nakal. biasala budak2 kan.. saya dulu pun nakal juga sekarang nakal lagi tapi dah baik laa sikit..hehe..

kadang2, dalam menegur budak ni, banyak cabaran. ye la, fi'il nyer pelbagai. Ada yang bila kita naik suara terus dengar ada juga bila naik suara lagi tak nak dengar, ada juga bila suara lembut je baru dengar.. kadang2 tu, buat homework susah, tak nak buat.. macam2.. bila fikir, takut pulak nak berumah tangga tapi itulah cabaran namanya. Ikhlas kerana ALLAH mendidik kanak2 dan anak2.

Alhamdulillah pernah juga belajar psikologi pendidikan masa tahun 1 kat kampus dulu. tahu la sikit2 pasal bebudak. buku2 kat kedai sekarang pun banyak kan camane nak ambil hati kanak2 kecil ni. mmmm... blajar la sikit2... Anak buah ku yang disayangi, kehadiran mu memeriahkan kami sekeluarga..

Thursday, June 5, 2008

Kaji semula kenaikan harga minyak


Asiah binti Hasan
Lajnah Penerangan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)


Sebagai seorang pengguna selaku mahasiswa saya merasa terpanggil untuk turut memberi respon terhadap isu hangat ketika ini iaitu kenaikan harga minyak 78 sen menjadikan harga petrol RM 2.70 seliter dan kenaikan RM1 bagi diesel menjadikannya RM2.58 seliter. Saya berpandangan pemberian RM625 dan RM150 kepada pemilik kenderaan yang berkaitan adalah bagus namun ia bukanlah satu penyelesaian jangka panjang sedangkan pengguna masih lagi menanggung beban memandangkan minyak kenderaan perlu diisi selalu.
Jika sebelum ini hangat membincangkan kenaikan harga beras yang melampau disebabkan kekurangan bekalan padi dan beras, yang mana dirasakan sangat terbeban dengan perkara demikian. Belum pun hilang bebanan kenaikan harga beras, hari ini kita dikejutkan pula dengan kenaikan mendadak dan dirasakan sangat tinggi terhadap harga petrol dan diesel. Hal ini amat dirasai oleh golongan berpendapatan rendah dan para mahasiswa.
Saya mewakili suara mahasiswa yang lain, apa yang dirasai sangat membebankan kami sebagai seorang pelajar yang menggunakan kenderaan berulang-alik di dalam kampus serta harga barangan lain yang turut naik seperti makanan dan keperluan. Sangat besar harapan kami sekiranya kenaikan ini hanya sementara dan kenyataan Perdana Menteri bahawa kenaikan ini akan dikaji secara bulanan akan memberikan khabar gembira kepada semua pengguna di Malaysia iaitu akan berlaku penurunan harga petrol dan diesel ini serta barangan lain.
Kenaikan harga minyak dunia dikatakan faktor kenaikan harga minyak di Negara kita. Apa yang kami sebagai mahasiswa harapkan agar pihak kerajaan dapat menyediakan jalan alternatif yang dapat mengurangkan bebanan rakyat memandangkan Negara Malaysia merupakan Negara pengeluar minyak. Bagi golongan berpendapatan tinggi mungkin kurang merasai kenaikan ini namun bagi golongan berpendapatan rendah dan mahasiswa sangat-sangat merasai hal ini. Ditambah pula dengan harga barangan lain yang turut meningkat. Tidak mustahil dengan kenaikan lagi harga minyak ini menyebabkan harag barangan keperluan lain turut meningkat. Apa yang ditakuti kos sara hidup meningkat dan berlaku inflasi yang tinggi.
Saya menyokong kenyataan saudara Mohamad Ghazali Zainal Abidin,AJK UMNO Seputeh yang menyatakan bahawa kerajaan perlu menagguhkan seketika projek jambatan kedua Pulau Pinang dan koridor wilayah ekonomi dan mengutamakan kebajikan rakyat pada masa ini.
Saya tidak merasakan pengguna membazir selama ini dalam penggunaan minyak, elektrik dan barangan lain kerana sememangnya pengguna akan membeli barangan keperluan sesuai dengan tahap penggunaan mereka.

Sunday, June 1, 2008

Sayang mak dan ayah!

Di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa, Kelantan. Kenangan bersama mak dan ayah semasa menghantar depa nie nak berangkat ke tanah suci Makkah pada Disember 2006.

Ibu,
Ku menumpang di segenap ruang rahimmu
Sebelum ku mengenal dunia yang penuh ranjau ini
Kau mengajarku erti dunia sebagai jambatan menuju akhirat yang kekal abadi
Dikau tegas dalam mendisiplinkan anak-anakmu terutama diriku anakmu yang'last' dalam family
Ketegasanmu itulah bila kufikirkan kembali memanusiakan daku
Ku doakan syurga menjadi milikmu
Bukan hanya di telapak kakimu
Ayah,
Kau sangat berhikmah dalam menegur kesilapan kami anak-anakmu
Diri ini tidak pernah dijentik oleh tanganmu
Yang diri ini dapat hanyalah belaian lembutmu sebagai seorang bapa
Kau sangat prihatin dan lembut hati
Kegigihanmu mencari rezeki membesarkan kami dengan rezeki yang halal akan ku balas dengan baik.InsyaALLAH...
AKU SAYANG KALIAN BERDUA. LOVE U SO MUCH ABI WA UMI (",)

sokong pemberian biasiswa kepada bumiputera secara menyeluruh


ASIAH BT HASSAN
LAJNAH PENERANGAN GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA (GAMIS)


Pertamanya GAMIS sangat menyokong cadangan yang dikemukakan oleh presiden PKPIM, saudara Mohd Hilmi dalam suratnya sabtu, 31 mei 2008 kepada berita harian online berkaitan pemberian biasiswa kepada bumiputera secara menyeluruh berdasarkan perlembagaan.

Hasrat kerajaan mahu meningkatkan kuota kepada 45% pemberian biasiswa di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada bukan bumiputera dirasakan perlu dipertimbangkan dan dikaji semula sebelum perlaksanaan dibuat. Bukanlah bermaksud menyekat biasiswa kepada bukan bumiputera malah ia memang perlu andai ada permintaan, namun sistem kuota akan menyebabkan hak keistimewaan bumiputera mungkin hilang ketara atau tidak dan isu rakyat Malaysia mungkin tidak dapat diselesaikan secara menyeluruh.

Hal ini kerana jika melihat kepada bumiputera masih ramai yang datang dari keluarga yang susah dan terpaksa menggunakan perkhidmatan secara pinjaman sama ada dari pihak kerajaan atau swasta untuk menyara kehidupan sebagai pelajar. Sedangkan apabila keluar dari laman kampus, mereka menganggur dalam tempoh yang GAMIS raakan agak lama sedangkan pada masa yang sama terpaksa menanggung beban untuk membayar balik pinjaman. Lebih parah lagi sekiranya bayaran yang dibaut melibatkan peratus faedah yang agak tinggi.

GAMIS dengan rendah dirinya mengharapkan pihak berkaitan mengkaji dan memastikan hak-hak bumiputera tidak dirampas di samping tidak mengenepikan permintaan bukan bumiputera.

Sekian..

AUKU: Masih relevan dibincangkan.



Pindaan AUKU galak pelajar sertai kegiatan konstruktif


PUTRAJAYA - Pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 akan menggalakkan pembabitan pelajar dalam semua kegiatan yang membina dan konstruktif, kata Datuk Seri Najib Tun Razak semalam. Timbalan Perdana Menteri berkata, Pejabat Peguam Negara sedang merumus pindaan itu sebelum mengemukakannya kepada Kabinet dan ianya dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang pada akhir bulan depan. (Dipetik dari Sinar Harian Online, 31 mei 2008).

Apa yang diharapkan semoga pindaan yang dibuat terhadap AUKU ini benar-benar telus dan ikhlas untuk menggalakkan pembabitan pelajar-pelajar IPT dalam segala kegiatan. Pindaan yang hanya berlandaskan kepentingan segolongan tertentu amatlah perlu dielakkan kerana ia hanya akan melumpuhkan masa depan negara.

Mahasiswa hari ini, kebanyakan terlibat dengan persatuan semata-mata ingin ‘stay’ kolej kediaman tanpa mngetahiu dan menyedari kepentingan berorganisasi. Pelajar tahun satu terutamanya di’paksa’ terlibat dengan aktiviti yang dianjurkan dan Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) dimomokkan dengan gambaran yang tidak elok.

Harapan GAMIS semoga kenyataan TPM di atas benar-benar membantu mahasiswa membina jati diri tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

Tuesday, May 27, 2008

Wanita dieksploitasi. Sedarkah kita?

Tidak malukah wanita hari ini yang menayangkan body? Saya nak berkongsi satu pengalaman benar bersama kawan2 semua... Satu hari semasa saya balik kampung cuti beberapa semester yang lalu, biasalah, rutinnya... tolong abang ngah jaga kedai runcit kat kampung.. tengah2 saya berniaga tu, ada la 5 hingga 6 orang lelaki sebaya saya semuanya datang dan tiba2 jer lepak depan kedai abang ngah saya.. depa ni dah kenal saya, maklumlah kawan masa sekolah darjah 1 hingga 6 dulu... jadi takdelah saya takut dan risau cuma mintak depa bersurai je la. depa ni selambe je jawab 'ala..releks la siti..kami tak ganggu ustazah pun"... tu la nada nyer, maklumlah nama glamour kat kampung 'siti' dan tetiba dapat gelaran 'ustazah' sebab pakai tudung labuh..

Tengah depa ni lepak2, tiba2 datang la seorang perempuan berjalan dengan penuh menggoda ke arah kedai saya.. depa budak laki ni tadi bersiul-siul..perempuan tu tadi agak berlagak dan buat2 tak layan..walhal hakikatnya suka bila diusik begitu... buka itu isunya, apa yang saya ingat sampai sekarang ialah kata2 salah sorang budak laki ni, ayatnye "kalu aku nok cari bini pun, aku tokse hok pakaian gitu..teruk la.. Ibarat kuih, kalu terdedah keno hinggap dek lalat pun, oghe tokse beli, samo la jugok ngan wanita ni, duk terdedah je sokmo. takdok oghe nok".. Itu lah antara lohgat Besut depa ni..

Jadi wahai wanita sekalian, sedarlah kita...
Allah sendiri menegaskan supaya wanita menutup seluruh badan kecuali yang biasa nampak iaitu muka dan tapak tangan...

Hari ni, bila saya tengok dalam televisyen dan dada-dada akhbar dan majalah, rasa sangat sedih dan geram apabila wanita pada hari ini diperlakukan dan dieksploitasi oleh segolongan tertentu yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata. Bila tengok iklan tuala wanita, rexona, mandian, haruman dan lain-lain, harga wanita seolah-olah sangat rendah nilainya. Bukan itu sahaja, hakikat hari ini yang pakai tak cukup kain atau 'pakai baju adik' yang dilihat biasa tapi yang menutup aurat dengan smpurna dilihat pelik.. Apapun, kepada sahabat2 yang sedia menutup aurat dengan sempurna, teruskan dengan prinsip kita selagi mana keyakinan hanya kepada Allah s.w.t CARI REDHA ALLAH WALAUPUN MANUSIA MURKA, JANGAN CARI REDHA MANUSIA ANDAI ALLAH MURKA.

Sedarkah kita wahai wanita, maruah wanita yang dulunya teruk pada zaman jahiliyyah berjaya diselamatkan berkat kesabaran dan kegigihan Rasulullah S.A.W menyelamatkannya. Harga dan maruah wanita ditempatkan di tempat yang mulia.. Namun hari ini, segolongan tertentu mula merampas kembali maruah yang telah diselamatkan itu.. Hal ini tidak akan berlaku sekiranya hanya sebelah pihak yang bertindak. Apa yang saya sangat geram, mengapa golongan wanita sendiri sanggup menerima tawaran yang boleh saya katakan 'bodoh' dan memalukan itu semata-mata keuntungan duniawi? ingat, balasan Allah di akhirat amatlah pedih..NAUZUBILLAH...

Sunday, May 25, 2008

Pelajar lahirkan anak, bukti kajian UKM bukan 'sampah'

Polis sedang meneliti gambar bayi yang baru lahir dan dibuang oleh ibunya

Kejadian seorang pelajar tingkatan empat melahirkan anak di bilik rawatan sekolah di sebuah sekolah menengah di Daerah Manjong membuktikan kajian yang dibuat oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berhubung gejala seks bebas di kalangan pelajar adalah benar.

Ini sekaligus menafikan dakwaan Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Mohd Khir Toyo, yang menganggap kajian itu sebagai `sampah'.

Demikian ditegaskan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Perak, Ustaz Nur Azli Musa, ketika mengulas kejadian pelajar yang melahirkan anak di sekolah seperti yang disiarkan oleh sebuah akhbar arus perdana baru-baru ini.

"Pemimpin-pemimpin Umno jangan cepat mempertikaikan kajian yang dibuat oleh pihak UKM kerana kejadian pelajar sekolah menengah mengadakan hubungan seks haram sehingga melahirkan anak bukan menjadi rahsia lagi, tetapi sudah banyak kes seumpama itu terjadi," katanya.

Beliau meminta pemimpin atasan Umno prihatin dengan gejala yang sedang melanda remaja masa kini dan jangan mudah mempertikaikan dan memperlecehkan kajian yang telah dibuat.

Beliau kemudiannya memetik laporan sebuah akhbar sebuah akhbar Indonesia `Republika' seperti yang disiarkan oleh sebuah akhbar tempatan, memetik kajian yang dibuat agensi Perancang Keluarga Indonesia, mendedahkan hampir 50 peratus remaja perempuan melakukan seks di luar nikah.

Menurut akhbar itu lagi, kajian tersebut dilakukan di lima buah kota besar termasuk Jakarta, Bandong dan Yogyakarta pada tahun 2003 dan bertambah dari tahun ke setahun. "Kajian yang dibuat oleh pihak UKM itu bukan bertujuan untuk menyalahkan remaja semata-mata, tetapi ianya bertujuan mendedahkan betapa seriusnya gejala seks bebas di kalangan remaja", ujarnya . Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Dato' Shahrizat Abdul Jalil baru-baru ini, turut mempertikaikan hasil kajian itu yang disifatkannya tersasar dan tidak menggambarkan keadaan sebenar.

"Lagi lama gejala seks bebas di kalangan pelajar sekolah tidak dibanteras, lagi ramai pelajar melahirkan anak di sekolah nanti', kata Ustaz Nur Azli.

"Kita tidak dengar ada menteri di Indinesia yang menganggap kajian itu sebagai `sampah' tetapi kenapa Menteri Besar dari Umno boleh bercakap seperti itu?" tanya beliau.

sumber: Harakahdaily